Exco FAM sedia letak jawatan elak penggantungan FIFA – Mohd Yusoff

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjawab pertanyaan media selepas mengadakan perjumpaan dengan barisan Exco FAM hari ini/ Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 8 Januari – Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedia meletakkan jawatan sekiranya itu adalah pilihan terbaik bagi menyelamatkan badan induk itu daripada digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

RINGKASAN BERITA AI
  • Exco FAM sedia meletak jawatan jika itu jalan terbaik untuk elakkan penggantungan oleh FIFA.
  • Perbincangan hari ini fokus menentukan hala tuju FAM berkaitan kenyataan Setiausaha Agung AFC.
  • Keputusan meletak jawatan akan dibuat secara sebulat suara jika dianggap perlu oleh Exco.
  • Exco turut mempertimbangkan dua atau tiga alternatif lain untuk elak penggantungan, tetapi tidak didedahkan.

Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata perkara itu antara isu yang dibincangkan dalam perjumpaan bersama exco hari ini.

“Hari ini kita memanggil semua exco untuk membincangkan hala tuju FAM, dan ia tentu sekali berkaitan kenyataan Setiausaha Agung AFC (konfederasi Bolasepak Asia), Datuk Windsor mengenai penggantungan FAM.

“Kalau pilihan itu (meletak jawatan) adalah keputusan terbaik, kita akan buat secara sebulat suara kerana kita bersatu hati sebagai exco,” katanya ketika ditemui selepas perjumpaan berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Yusoff memaklumkan barisan exco turut membincangkan alternatif lain bagi mengelak FAM daripada digantung, namun beliau enggan mendedahkan cadangan berkenaan.

“Kita mengambil kira pandangan exco hari ini, tetapi keputusan muktamad belum ada. Ada dua atau tiga pilihan,” katanya.- BERNAMA