Iran teliti maklum balas cadangan damai 14 perkara AS

Seorang lelaki memegang bendera Iran berhampiran papan iklan anti-AS di Tehran/Foto REUTERS

TEHRAN, 4 Mei – Iran sedang meneliti maklum balas terbaharu terhadap cadangan damai 14 perkara Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang di rantau itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelan 14 perkara tumpu hentikan perang, bukan rundingan program nuklear; Tehran utamakan menamatkan konflik serantau termasuk di Lubnan.
  • Tuntutan Iran: pengunduran tentera Amerika, tamat sekatan laut, pelepasan aset beku dan pelonggaran sekatan ekonomi; semua isu diselesaikan dalam 30 hari.
  • AS ragu terima pelan; ketegangan meningkat selepas serangan kemudian serangan balas, gencatan senjata 8 April dan rundingan Islamabad gagal capai persetujuan.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei berkata pelan itu memberi tumpuan kepada usaha menghentikan perang dan tidak melibatkan rundingan mengenai program nuklear buat masa ini.

Katanya, keutamaan Tehran ketika ini ialah menamatkan konflik di rantau berkenaan termasuk di Lubnan.

Media Iran melaporkan pelan itu diserahkan kepada Washington menerusi Pakistan sebagai maklum balas kepada cadangan damai Washington.

Antara tuntutan utama Iran ialah pengunduran tentera Amerika dari kawasan berhampiran, menamatkan sekatan laut, pelepasan aset dibekukan serta pelonggaran sekatan ekonomi.

Iran turut menetapkan semua isu perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari.

Presiden AS, Donald Trump berkata beliau akan meneliti cadangan itu, namun meragui ia boleh diterima Washington.

Dalam perkembangan sama, media Iran melaporkan Amerika kini berdepan dua pilihan, sama ada melancarkan operasi ketenteraan berisiko tinggi atau menerima perjanjian yang memihak kepada Iran.

Ketegangan antara kedua-dua negara memuncak sejak akhir Februari selepas Israel dan Amerika melancarkan serangan ke atas Tehran serta beberapa bandar utama Iran.

Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke atas Israel serta kepentingan Amerika di rantau itu, selain mengetatkan kawalan di Selat Hormuz hingga menjejaskan aliran minyak global.

Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April lalu, diikuti rundingan antara delegasi Iran dan Amerika di Islamabad pada 11 dan 12 April lalu, namun gagal mencapai sebarang persetujuan. – REUTERS