
WASHINGTON, 28 Mei- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meluluskan dua semakan ke atas program pinjaman Sri Lanka, sekali gus membolehkan tambahan dana berjumlah AS$695 juta disalurkan segera kepada negara itu yang masih berdepan krisis ekonomi.
- IMF meluluskan dua semakan program pinjaman, membolehkan tambahan AS$695 juta disalurkan segera kepada Sri Lanka.
- Dana itu sebahagian pakej bailout empat tahun bernilai AS$3 bilion untuk menyokong pemulihan ekonomi Sri Lanka.
- IMF kata konflik Asia Barat menaikkan harga minyak global, menekan negara Asia pengimport tenaga dan meningkatkan risiko ekonomi.
- Kelulusan disertai syarat pelarasan subsidi tenaga; Sri Lanka belum penuhi sepenuhnya syarat pengurusan hutang luar dan sekatan import.
Dana tersebut merupakan sebahagian daripada pakej bailout empat tahun bernilai AS$3 bilion yang sedang dilaksanakan bagi menyokong pemulihan ekonomi Sri Lanka.
IMF memaklumkan peningkatan risiko terhadap ekonomi negara itu berpunca daripada kesan konflik di Asia Barat yang mencetuskan kenaikan harga minyak global, sekali gus memberi tekanan kepada negara-negara Asia yang bergantung kepada import tenaga.
“Pelaksanaan kukuh Sri Lanka di bawah pengaturan Pembiayaan Tambahan (EFF) terus berterusan walaupun berdepan keadaan yang mencabar,” kata Timbalan Pengarah Urusan IMF, Kenji Okamura.
Beliau berkata pelaksanaan program pembaharuan ekonomi membantu meningkatkan daya tahan ekonomi serta memberi ruang kepada Sri Lanka untuk menangani kesan Taufan Ditwah dan konflik Asia Barat.
IMF menjangka pertumbuhan ekonomi Sri Lanka pada 2026 akan perlahan kepada sekitar tiga peratus, dengan kenaikan harga minyak meningkatkan inflasi serta menekan imbangan akaun semasa.
Kelulusan dana itu disertakan syarat pelarasan subsidi tenaga khususnya melibatkan penetapan harga bahan api dan elektrik mengikut kos sebenar.
Bagaimanapun, IMF memaklumkan Sri Lanka masih belum memenuhi sepenuhnya beberapa syarat berkaitan pengurusan hutang luar serta sekatan import, walaupun sebahagian keperluan utama lain telah dipatuhi. -AFP