
KUALA LUMPUR, 28 Mei -Kira-kira RM4.59 juta denda terkumpul melibatkan pelbagai kes pencemaran alam sekitar.
- 5,074 pemeriksaan dijalankan di 4,339 premis bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 antara 1 Jan hingga 30 Apr.
- 3,149 tindakan penguatkuasaan: 1,587 Notis Arahan, 1,369 kompaun, 44 penahanan operasi, dua gantung lesen, 18 Perintah Larangan.
- 148 kesalahan selesai pendakwaan di mahkamah dan disabitkan; hukuman termasuk penjara satu hari.
- Operasi pelabuhan: 51 pemeriksaan terhadap 702 kontena; 427 mengandungi buangan terjadual, 73 Notis Arahan, 53 kontena dipulangkan.
Jumlah itu hasil daripada lebih 5,000 pemeriksaan di seluruh negara bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 5,074 pemeriksaan telah dijalankan di 4,339 premis tertakluk bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi tempoh 1 Januari hingga 30 April lalu.
Pemeriksaan tersebut melibatkan pelbagai sektor industri termasuk kilang minyak kelapa sawit mentah, kilang getah asli mentah, kemudahan pemerolehan kembali buangan terjadual, loji rawatan kumbahan serta industri lain yang berisiko mencemarkan alam sekitar.
“Berdasarkan pemeriksaan dan siasatan yang dijalankan, JAS telah mengambil sebanyak 3,149 tindakan penguatkuasaan susulan terhadap pihak yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Ia merangkumi 1,587 Notis Arahan, 1,369 kompaun, 44 tindakan penahanan operasi kelengkapan, dua tindakan gantung lesen, 18 Perintah Larangan serta 129 kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan,” menurut kenyataan itu.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 148 kesalahan telah selesai pendakwaan di mahkamah dan disabitkan kesalahan dengan jumlah denda terkumpul RM4,598,500 serta hukuman penjara sehari.
Dalam tempoh sama, JAS turut melaksanakan 1,906 operasi penguatkuasaan bagi pelepasan asap kenderaan bermotor membabitkan pemeriksaan terhadap 137,722 kenderaan, selain 811 pemeriksaan bagi projek yang mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).
Menyentuh mengenai usaha mengekang kemasukan haram buangan terjadual, sebanyak 51 operasi pemeriksaan dilaksanakan di pelabuhan utama melibatkan 702 kontena.
Hasil pemeriksaan mendapati 427 kontena mengandungi buangan terjadual termasuk sisa elektrik dan elektronik.
“Susulan itu, 73 Notis Arahan telah dikeluarkan bagi mengarahkan kontena terbabit dihantar keluar dari Malaysia, dengan 53 kontena telah berjaya dipulangkan ke negara asal setakat ini,” kata kenyataa itu lagi.
Selain itu, pemantauan isu pembakaran terbuka dipertingkatkan menerusi 3,237 siasatan termasuk terhadap 494 titik panas (hotspot) yang dikesan.
JAS turut memperkasakan penggunaan teknologi melalui 409 penerbangan dron bagi tujuan pemantauan dan pengawasan secara lebih strategik.
Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, JAS telah menerima sebanyak 6,252 aduan pencemaran alam sekitar dan memberi jaminan setiap aduan disiasat mengikut tempoh piagam pelanggan yang ditetapkan.