ASEAN Perlu Strategi Jangka Panjang Perkukuh Sekuriti Makanan – KRI

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Mei -Malaysia dan rantau Asia Tenggara memerlukan strategi jangka panjang terhadap sekuriti makanan bagi membina sistem yang lebih berdaya tahan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu kerjasama serantau bersepadu; selaraskan tindakan nasional, perkongsian maklumat, pengurusan rizab kecemasan dan pemantauan input pertanian.
  • Manfaatkan mekanisme ASEAN seperti APTERR, AFSIS, AIFS, SPA-FS, APSA dan usaha baja SEAFA untuk memperkukuh keselamatan makanan serantau.
  • Amalkan sara diri berteraskan kerjasama: kukuhkan pengeluaran domestik, kekalkan perdagangan serantau dan kurangkan kerentanan kepada input luar.

Menurut laporan Khazanah Research Institute (KRI), rantau ini memerlukan kerjasama serantau yang lebih kukuh dan bersepadu dengan memanfaatkan mekanisme kerjasama ASEAN secara lebih berkesan.

“Cabarannya bukan sekadar menghasilkan lebih banyak makanan atau mengurangkan import. Cabaran sebenar ialah membina sistem makanan yang kurang terdedah kepada tekanan luar, tanpa terjerumus kepada pengasingan makanan.

“Bagi Malaysia dan Asia Tenggara, hala tuju ke hadapan terletak pada sara diri berteraskan kerjasama dan daya tahan nasional yang lebih kukuh,disokong oleh penyelarasan serantau yang lebih mendalam,” katanya dalam laporan sama

Jelas laporan penyelidikan itu, platform ASEAN perlu dimanfaatkan dengan lebih baik untuk menyelaraskan tindakan nasional, berkongsi maklumat, mengurus rizab kecemasan, memantau input pertanian dan menyokong perdagangan serantau.

Antara mekanisme ASEAN yang berpotensi memperkukuh penyelarasan serantau dalam aspek rizab makanan, pemantauan harga serta pengurusan gangguan bekalan termasuk Rizab Beras Kecemasan ASEAN+3 (APTERR), Sistem Maklumat Keselamatan Makanan ASEAN (AFSIS).

Selain itu, Rangka Kerja Keselamatan Makanan Bersepadu ASEAN (AIFS), Pelan Tindakan Strategik bagi Keselamatan Makanan (SPA-FS), Perjanjian Keselamatan Petroleum ASEAN (APSA), serta kerjasama baja yang sedang dibangunkan oleh Persatuan Baja Asia Tenggara (SEAFA) turut berperanan penting dalam memperkukuh keselamatan makanan serantau secara lebih menyeluruh.

Pada masa sama, pendekatan ‘sara diri berteraskan kerjasama’ turut dicadangkan sebagai hala tuju baharu, dengan negara ASEAN memperkukuh pengeluaran domestik sambil mempertingkat kerjasama melalui platform serantau.

Usaha itu juga perlu melangkaui pendekatan linear dengan memerlukan pengukuhan pengeluaran domestik di sektor secara praktikal, mengekalkan hubungan perdagangan serantau yang berguna, serta mengurangkan kerentanan input.

“Kerentanan rantau ini berkait dengan struktur kebergantungan yang lebih luas, termasuk import makanan, input pertanian, aliran tenaga, laluan perkapalan strategik dan persaingan kuasa besar,” katanya lagi.

##

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.