Campur tangan AS di Selat Hormuz dianggap langgar gencatan senjata

Kapal perang Amerika Syarikat menjalankan operasi di Laut Arab. Gambar diambil pada July 6 2019/Foto REUTERS

TEHRAN, 4 Mei – Iran memberi amaran keras sebarang campur tangan Amerika Syarikat (AS) di Selat Hormuz akan dianggap sebagai pelanggaran gencatan senjata.

RINGKASAN BERITA AI
  • Iran menganggap sebarang campur tangan AS di Selat Hormuz sebagai pelanggaran gencatan senjata.
  • AS memulakan operasi pengiring "Project Freedom" untuk membantu kapal dagang dan memulihkan laluan perdagangan di Selat Hormuz.
  • Penasihat ketenteraan Iran mengingatkan keupayaan menenggelamkan kapal perang AS jika ketegangan kembali memuncak.

Amaran itu dibuat ketika Amerika memulakan operasi mengiringi kapal dagang keluar dari laluan perairan strategik di rantau itu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Negara Parlimen Iran, Ebrahim Azizi berkata campur tangan Washington terhadap peraturan maritim baharu Tehran boleh mencetuskan semula ketegangan.

Presiden Amerika, Donald Trump pula berkata operasi dikenali sebagai ‘Project Freedom’ itu bertujuan membantu kapal dagang yang terkandas di Selat Hormuz.

Penasihat ketenteraan Pemimpin Tertinggi Iran, Mohsen Rezaee memberi amaran Iran mampu memusnahkan kapal perang Amerika sekiranya ketegangan kembali memuncak.

Beliau mendakwa Iran mempunyai keupayaan menenggelamkan kapal perang dan menentang sebarang ancaman di laluan perkapalan penting dunia itu.

Pusat Pemerintahan Tentera Amerika Syarikat, (CENTCOM) berkata operasi itu bermula hari ini bagi memulihkan semula laluan perdagangan komersial di Selat Hormuz.

Ketegangan di Selat Hormuz meningkat sejak Washington mengenakan sekatan maritim terhadap Iran susulan kegagalan rundingan kedua-dua negara di Islamabad, April lalu. – REUTERS