
ISLAMABAD, 4 Mei – Pakistan mengulangi pendiriannya untuk menggalakkan rundingan damai bagi menamatkan konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.
- Timbalan Perdana Menteri Mohammad Ishaq Dar mengesahkan sokongan Pakistan terhadap kestabilan serantau dan penyelesaian melalui dialog serta saluran diplomatik.
- Duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri Moghadam berkata Pakistan kekal sebagai pengantara utama dan Iran tidak mahu menukar orang tengah.
- Amerika memberi maklum balas terhadap cadangan damai 14 perkara Iran melalui Pakistan termasuk tamat perang 30 hari, jaminan tiada serangan dan buka semula Selat Hormuz.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Pakistan, Mohammad Ishaq Dar berkata negaranya menyokong kestabilan serantau dan percaya konflik itu perlu diselesaikan melalui dialog serta saluran diplomatik.
Beliau menyatakan pendirian itu dalam perbualan telefon dengan Timbalan Perdana Menteri Jordan, Ayman Safadi.
Dalam perkembangan sama, Duta Iran ke Pakistan, Reza Amiri Moghadam berkata Pakistan kekal sebagai pengantara utama dalam rundingan semasa antara Tehran dan Washington.
Menurut beliau, Iran tidak berhasrat menukar orang tengah dalam rundingan itu.
Sementara itu, Iran mengesahkan Amerika telah memberi maklum balas terhadap cadangan damai 14 perkara yang dikemukakan Tehran menerusi Pakistan.
Cadangan itu antara lain menuntut menamatkan perang sepenuhnya dalam tempoh 30 hari, jaminan tiada lagi serangan ketenteraan. serta Iran bersetuju membuka semula Selat Hormuz kepada perdagangan antarabangsa jika sekatan laut ditarik balik – REUTERS