fb fb fb fb fb

MFL guna budi bicara kurangkan denda ke atas Selangor FC, batal pemotongan tiga mata Liga Super

FOTO MFL

KUALA LUMPUR, 27 Jun- Malaysian Football League (MFL) hari ini memaklumkan, Ahli Lembaga Pengarah MFL telah menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan semula hukuman atas Selangor FC susulan ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 10 Mei 2024.

MFL menerusi satu kenyataan memaklumkan, hukuman denda kepada Selangor FC dikurangkan daripada RM100,000 ke RM60,000 selain hukuman pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 yang dikenakan keatas pasukan itu turut dibatalkan.

Begitupun, jika Selangor FC mengulangi kesalahan sama, maka ia akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib dan hukuman lebih tegas dan keras dikenakan.

Selain itu larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 melibatkan Selangor FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik, dan penonton akan dibenarkan hadir.

“Pertimbangan semula ini dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” menurut kenyataan itu.

Namun bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL masih dikekalkan, dengan badan induk itu akan mengumpul maklumat dan kos dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL, untuk diserahkan kepada Selangor FC bagi semakan dan perbincangan selanjutnya.

Tempoh rayuan diberikan kepada Selangor FC adalah selama tiga hari daripada tarikh surat hari ini dikeluarkan seperti yang termaktub dalam Aturan 4, Kaedah 3, Kaedah-kaedah Badan Penguatkuasa Peraturan, Manual Liga Malaysia.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE