
KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Sekolah Parlimen, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Parlimen Belia Malaysia antara platform yang diketengahkan bagi memperkasa kepimpinan serta meningkatkan pengetahuan golongan muda mengenai sistem demokrasi negara.
- Lebih 2,000 sekolah lawat Parlimen, beri peluang pelajar 16-17 menyaksikan perbahasan dan memahami demokrasi.
- PLKN membuka ruang interaksi antara kaum, memupuk patriotisme serta nilai kepimpinan dalam kalangan belia.
- Parlimen Belia galak 18-30 bertanding; 222 Ahli dipilih sertai perbahasan sebagai persediaan membina kemahiran kepimpinan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr Johari Abdul berkata, ketiga-tiga platform itu memberi pendedahan kepada golongan itu berkenaan proses demokrasi, selain memupuk nilai kepimpinan dan mempersiapkan mereka untuk menjadi pemimpin masa depan.
Menerusi program Sekolah Parlimen, lebih 2,000 sekolah telah menyertai program lawatan ke Parlimen Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada pelajar menyaksikan sendiri proses perbahasan di Dewan Rakyat.
“Setakat ini, lebih 2,000 sekolah telah menyertai program lawatan ke Parlimen Malaysia, termasuk memberi peluang kepada pelajar memasuki Dewan Rakyat untuk menyaksikan sendiri proses perbahasan.
“Pendedahan ini penting supaya pelajar seawal usia 16 hingga 17 tahun dapat memahami maksud demokrasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFuture) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL), di ibu negara hari ini.
Sidang kemuncak berkenaan turut dihadiri, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam pada itu, Tan Sri Dr Johari berkata, PLKN turut membuka ruang kepada golongan muda daripada pelbagai kaum dan latar belakang untuk berinteraksi, selain memupuk semangat patriotisme serta nilai kepimpinan.
Beliau turut menggalakkan golongan berusia 18 hingga 30 tahun menyertai Parlimen Belia Malaysia, yang menyediakan platform untuk mereka bertanding sebagai Ahli Parlimen Belia dan mengambil bahagian dalam perbahasan berkaitan isu kepentingan generasi muda.
Seramai 222 Ahli Parlimen Belia akan dipilih menerusi proses pemilihan yang ditetapkan, manakala mereka yang terpilih berpeluang menyertai perbahasan sebagai persediaan membentuk kemahiran kepimpinan.
“Semua ini dilaksanakan bagi mempersiapkan golongan muda menjadi pemimpin masa depan.
“Kita mahu mereka menjadi pemimpin yang berkeyakinan, berani dan berpengetahuan, serta mampu berdiri teguh sebagai pemimpin negara,” katanya.