Peluang pekerjaan, kos sewa rumah dan kemudahan OKU jadi tumpuan belia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 12 Oktober -Perkara berkaitan peluang pekerjaan, kos sewa rumah yang tinggi dan akses kepada kemudahan awam mesra orang kurang upaya (OKU) antara isu yang dibangkitkan golongan belia dalam program Townhall: Belia KL Berbicara, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Golongan belia membangkitkan isu peluang pekerjaan, kos sewa tinggi dan akses kepada kemudahan mesra OKU; kementerian akan meneliti.
  • Hannah Yeoh akan ambil kira langkah yang boleh dilaksanakan menurut bidang kuasa agensi termasuk DBKL.
  • Cadangan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer diterima baik; DBKL meneliti pelaksanaan dan perluasan rangkaian.
  • Pewartaan kawasan hijau, penguatkuasaan dan insentif kepada pemaju akan diteruskan untuk memelihara serta menambah ruang rekreasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, pandangan berkenaan akan diteliti serta mengambil kira langkah yang boleh dilaksanakan mengikut bidang kuasa agensi berkaitan, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Banyak maklum balas yang diterima berkaitan peluang pekerjaan, termasuk permintaan untuk mengadakan pesta kerjaya, selain isu kadar sewa rumah yang tinggi di Kuala Lumpur dan akses kepada infrastruktur OKU.

“Perkara ini akan diambil kira dalam perbelanjaan dan apa yang mampu kita laksanakan, kita akan laksanakan,” katanya ketika sidang media selepas program itu di Ibu Negara.

Dalam perkembangan lain, cadangan penyediaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer di Kuala Lumpur turut menerima maklum balas positif daripada golongan belia.

“Kita telah mengemukakan cadangan sepanjang 22 kilometer dan DBKL sedang meneliti kaedah pelaksanaan yang lebih pantas, termasuk kemungkinan memperluas rangkaian laluan ini bagi meningkatkan kesalinghubungan serta menggalakkan lebih ramai warga kota berjalan kaki.”

Beliau berkata kemudahan itu penting bagi menyediakan laluan yang lebih selesa kepada orang ramai, khususnya untuk bergerak tanpa terdedah secara langsung kepada panas dan hujan.

Sementara itu, usaha memelihara dan memperluas kawasan hijau di ibu kota akan diteruskan menerusi pewartaan tanah yang belum diwartakan, penguatkuasaan bagi mencegah pencerobohan serta kerjasama dengan agensi berkaitan.

Menurut Hannah, antara pendekatan yang dipertimbangkan termasuk memanfaatkan kawasan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan menyediakan kemudahan seperti lampu dan laluan pejalan kaki bagi membolehkan kawasan berkenaan digunakan sebagai ruang rekreasi.

“Keutamaan kita adalah mewartakan kawasan hijau yang belum diwartakan bagi mengelakkan pencerobohan dan aktiviti komersial yang tidak dibenarkan.

“Pada masa sama, kita turut menyediakan insentif kepada pemaju menerusi skim pembangunan semula sekiranya mereka menyediakan lebih banyak padang dan kawasan hijau untuk manfaat warga kota,” katanya lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.