SEMENYIH, 19 Januari- Selangor bersedia menjadikan Stadium Shah Alam yang baharu sebagai salah satu venue bagi penganjuran sukan berprestij, Sukan SEA 2027.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, keputusan itu bergantung kepada keperluan kemudahan pihak penganjur dalam melaksanakan sukan bertaraf tinggi tersebut.
"Sukan SEA sempat, SUKMA tidak sempat, SUKMA 2026, kalau dapat disiapkan segera Alhamdulillah namun begitu saya percaya kualiti kita tidak boleh kompromi.
"Jadi kita tidak mahu tergesa-gesa nanti menyebabkan kualiti jatuh dan sebagainya, jika mahu ianya disiapkan dengan cepat, perlukan tempoh masa pembinaan yang panjang.
"Tetapi kalau kita panjangkan sebab sekeliling masih ada penduduk jadi kita tidak mahu aktiviti itu sampai 24 jam menganggu kehidupan masyarakat khususnya di Seksyen 13," katanya.
Amirudin berkata, setakat ini, proses perobohan Stadium Shah Alam menghampiri 90 peratus.
Beliau turut menjangkakan pemeteraian perjanjian pembinaan stadium tersebut akan dilaksanakan pada bulan ini dan seterusnya pembinaan akan dijalankan dengan segera.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan kayuhan basikal menerusi program IJN-KHK Land Ride 4 Your Heart 2025 di Semenyih, hari ini.
Stadium Shah Alam yang baharu dijadualkan siap sepenuhnya pada suku pertama 2027.