
PARIT BUNTAR, 22 September – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Hospital Parit Buntar, pagi tadi.
- Hospital bernilai RM173.3 juta dibina sejak Januari 2018, siap 23 Julai 2025 selepas cabaran penstabilan tanah dan pandemik COVID-19.
- Hospital mula beroperasi 3 September 2025 dengan 76 katil ditempatkan dalam enam blok bangunan.
- Kemudahan lengkap termasuk dewan bersalin, dua dewan bedah, unit respiratori, hemodialisis, pengimejan, patologi, transfusi dan farmasi; sokong visi Perak Sejahtera 2030.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam sembah ucapannya, Datuk Seri Dr Dzulkefly berkata hospital bernilai RM173.3 juta itu mula dibina pada Januari 2018 dan siap sepenuhnya pada 23 Julai 2025.
Katanya, pembinaan hospital berkenaan berdepan pelbagai cabaran termasuk kerja awalan menstabilkan struktur tanah bendang serta pandemik COVID-19.
Hospital itu mula beroperasi pada 3 September 2025, dengan 76 katil yang ditempatkan di enam blok bangunan.
Ia turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Dewan Bersalin, dua Dewan Bedah, Respiratory and Hemodynamic Unit, Pregnancy Assessment Center, unit hemodialisis, pengimejan, patologi, transfusi dan farmasi.
Menurut beliau, penyediaan kemudahan berkenaan membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan dan kepakaran berkualiti, selaras dengan visi Perak Sejahtera 2030.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyempurnakan lafaz dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Hospital Parit Buntar.