Perenang negara Tong Yu Jin jalani pembedahan apendiks

Foto Fail BERNAMA

NAGOYA, 22 September – Atlet renang negara, Tong Yu Jin, selamat menjalani prosedur pembedahan pada Isnin selepas disahkan mengalami radang apendiks.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mula alami sakit perut dan muntah pada 21 September sebelum dibawa ke hospital.
  • Pemeriksaan perubatan mengesahkan apendiks dan memerlukan pembedahan segera, disokong pasukan perubatan ISN.
  • Terpaksa menarik diri daripada dua acara, 50 meter gaya bebas dan 50 meter kuak kupu-kupu.
  • Kini ditempatkan di wad Juntendo University Urayasu Hospital untuk pemantauan dan rawatan susulan; MSN bertindak segera memaklumkan pegawai berkaitan.

Beliau kini dipindahkan ke wad untuk pemantauan serta rawatan lanjut di Juntendo University Urayasu Hospital.

Sekretariat Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan memaklumkan, atlet berkenaan mula mengalami sakit perut dan muntah pada 21 September sebelum dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan.

Hasil pemeriksaan perubatan mendapati Yu Jin mengalami apendiks dan memerlukan pembedahan segera.

Cadangan itu turut mendapat sokongan pasukan perubatan Institut Sukan Negara (ISN) bagi mengurangkan risiko komplikasi serta memastikan atlet menerima rawatan sewajarnya.

Yu Jin sebelum ini dijadualkan beraksi dalam dua acara, iaitu 50 meter gaya bebas dan 50 meter kuak kupu-kupu, bagaimanapun terpaksa menarik diri berikutan perkembangan tersebut.

“Sekretariat MSN kemudiannya memaklumkan Naib Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Malaysia, Nurul Huda Abdullah, serta pegawai perubatan Institut Sukan Negara (ISN), Dr Ahamd Munawar Helmi Salim, berhubung keadaan dan status rawatan atlet berkenaan,” menurut kenyataan itu.

MSN yang menerima makluman mengenai keadaan Yu Jin pada awal pagi Isnin bertindak segera bagi memastikan atlet itu mendapat rawatan perubatan.

Selepas menjalani pembedahan, Yu Jin kini ditempatkan di wad bagi menjalani pemantauan dan rawatan susulan oleh pasukan perubatan. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.