TOKYO, 21 November - Hasrat skuad badminton pekak negara untuk menghadiahkan pingat emas pertama di temasya Deaflympics 2025 berkecai apabila beregu campuran negara, Edmund Teo–Boon Wei Ying, tewas di separuh akhir dalam perlawanan yang berlangsung di Keio Arena Tokyo.
Gandingan negara bermula garang apabila mendominasi set pertama dengan kemenangan 21-14 ke atas pasangan Korea Selatan, Shin Kyungduk–Park Min Kyeong.
Namun, perubahan corak permainan lawan memaksa wakil negara bergelut untuk mengutip mata sebelum tewas 16-21 pada set kedua. Kedudukan kembali terikat mengheret permainan ke set penentuan yang menyaksikan Edmund–Boon Wei Ying terus ditekan sehingga akur tumbang 13-21.
Mengulas aksi tersebut, Wei Ying mengakui mereka kehilangan momentum ketika mata kritikal.
"Set kedua sebenarnya kami masih fokus, cuma memang kita mahu kumpulkan mata sebanyak yang mungkin," katanya.
Wei Ying turut menegaskan tekanan sebagai satu-satunya wakil beregu campuran negara tidak menjejaskan aksi mereka.
"Tekanan itu tidak ada sangat, kami hanya fokus dalam permainan hari ini. Setiap perlawanan kami cuba pastikan mata dibawa ke hadapan," jelasnya.
Kekalahan itu menamatkan misi pingat emas skuad badminton pekak negara.
Namun, peluang masih terbuka untuk membawa pulang pingat apabila mereka bakal beraksi dalam penentuan tempat ketiga menentang wakil India, Abhinav Sharma–Jerlin Jayaratchagan.
Sebelum ini, Edmund-Wei Ying turut pernah tewas kepada pasangan India tersebut pada final edisi 2021 di Brazil.