KUALA LUMPUR, 28 Januari – Kehadiran pemain naturalisasi dan berstatus warisan memberikan cabaran besar kepada pemain tempatan, jurulatih, dan sistem bola sepak negara secara keseluruhannya.
Bekas ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil menyifatkan fenomena naturalisasi bukan sesuatu yang baharu kerana ia telah lama diamalkan di pelbagai negara.
Namun, katanya, cabaran utama adalah memastikan pemain tempatan bersedia dari segi mental untuk bersaing di pentas yang semakin kompetitif.
“Saya rasa kita tidak boleh lari daripada isu naturalisasi kerana ia berlaku di banyak negara. Pemain berstatus warisan ini mempunyai hak undang-undang untuk mewakili Malaysia. Kehadiran mereka bukan sahaja mencabar pemain muda tetapi juga jurulatih, kerana pasaran bola sepak kini semakin terbuka,” katanya.
Nidzam juga menekankan bahawa kehadiran pemain naturalisasi boleh membawa impak positif jika dimanfaatkan dengan baik.
“Penambahan pemain naturalisasi dan warisan mampu memberikan keputusan yang baik, bukan hanya kepada prestasi pasukan tetapi juga membantu pemain muda untuk melonjakkan potensi mereka. Selain itu, ia juga boleh menjadikan pengurusan liga kita lebih teratur,” tambahnya.
Nidzam berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri pelancaran buku Bola Mental karya bekas pemain kebangsaan, Rosli Hussein, di Universiti Malaya, di sini, hari ini.
Nidzam, 44, kini dalam fasa berehat sepenuhnya selepas meninggalkan skuad The Red Giants pada hujung Oktober tahun lalu.
Beliau berharap cabaran ini dapat mendorong semua pihak dalam bola sepak tempatan untuk lebih bersedia dan berdaya saing, sekali gus meningkatkan mutu bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, penulis buku Bola Mental, Rosli Hussein atau lebih dikenali sebagai Pakdor, melancarkan buku hasil penulisannya selama dua tahun yang berdasarkan pengalaman beliau sebagai pemain dan pengurus bola sepak.
"Kekuatan mental adalah salah satu komponen kecemerlangan prestasi. Namun, di Malaysia, kita langsung tidak memberikan perhatian kepadanya.
"Betul, tiada usaha untuk mengembangkan atau menerapkan kekuatan mental ini. Ada yang tahu, tetapi mereka hanya tahu untuk diri sendiri dan tidak berkongsi dengan orang lain.
"Harapan saya ialah ilmu yang diterapkan dalam buku ini dapat meluas dalam komuniti bola sepak, termasuk peminat, jurulatih, dan pemain profesional,” katanya.
Pakdor pernah bermain bersama Selangor, Kelantan dan Kuala Lumpur pada era 1980-an.