fb fb fb fb fb

Liputan internet di pusat kira undi akan segera ditambah baik - Fahmi

Fahmi Fadzil

NIBONG TEBAL, 22 Jun- Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi jaminan liputan internet di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini akan ditambah baik dengan kadar segera.

Ia bagi memastikan proses pengiraan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai nanti berjalan lancar.

"Saya buat pemantauan, ada aduan daripada rakan-rakan media mengenai kualiti internet dalam pusat penamaan calon. Jadi saya dah minta supaya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk pastikan bila tiba hari pengiraan undi nanti... masalah internet tidak menjadi isu," katanya.

Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN ditemui pemberita ketika hadir memberi sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin yang menyerahkan borang pencalonan di Dewan Serbaguna Jawi di sini hari ini.

Joohari turut diiringi penyokong serta beberapa pimpinan parti dalam Kerajaan Perpaduan antaranya Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Pengarah Strategik AMANAH, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Turut hadir memberi sokongan kepada Joohari ialah Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Ketua Penerangan 1 KEADILAN, Datuk R. Ramanan, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK berkenaan manakala pengundian awal pada 2 Julai.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA