NIBONG TEBAL, 22 Jun - Sepanjang proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, radio memainkan peranan besar dalam menyampaikan maklumat kepada pengguna, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, trend itu semakin jelas kelihatan selepas perubahan digital terhadap platform itu termasuklah penyampaian maklumat berbentuk radio bervisual.
"Menerusi perubahan itu interaksi dua hala antara pendengar dan penyampai dapat dipertingkatkan.
"Ini sekali gus memboleh cadangan secara terus dapat disampaikan kepada pendengar.
"Harapan saya, semoga para pendengar MutiaraFM dan penonton radio bervisual siaran MutiaraFM dapat juga menyampaikan pandangan dan kita harap interaksi dua hala ini dapat menghasilkan kandungan yang bermakna bukan hanya untuk warga di Sungai Bakap tapi pendengar tegar MutiaraFM,” katanya selepas rakaman Program Sana Sini Sungai Bakap di Konti Mini MutiaraFM di Komplek Rakan Muda Seberang Perai Selatan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa puas hati terhadap infrastruktur dan kemudahan pengoperasian Konti Mini MutiaraFM di Kompleks Rakan Muda, Sungai Bakap.
“Saya sangat gembira untuk melihat apa yang telah diusahakan oleh rakan-rakan kita dalam mini studio sempena PRK DUN Sungai Bakap. Saya lihat fasilitinya baik selain memiliki internet yang baik,” katanya.