KOTA KINABALU, 30 November - Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menewaskan penyandang, Datuk Ellron Angin daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang memegang kerusi itu sejak 2008.
Ahli Parlimen Pensiangan itu yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) memperoleh 8,307 undi dengan majoriti 4,727 dalam persaingan lima penjuru.
Kemenangan itu menewaskan empat calon lain iaitu Ellron Angin daripada Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS); Ireneus Pagut @ Jreneus Pagut (Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH)); Joseph Peter Tinggi (Parti Warisan Sabah (Warisan)); dan V Chong Vin @ Siau Ho (Parti Impian Sabah).
DUN Sook merupakan satu daripada tiga kerusi DUN bawah Parlimen Pensiangan selain Tulid dan Nabawan.