fb fb fb fb fb

Penyasaran subsidi diesel fokus utama PRK Sungai Bakap

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan

PASIR GUDANG, 13 Jun - Penjelasan berhubung penyasaran subsidi diesel, perlu menjadi fokus utama jentera kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di Pulau Pinang. 

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, gerak kerja perlu ditumpukan kepada meleraikan salah faham dan persepsi negatif orang ramai terhadap inisiatif tesebut. 

Jelasnya, saranan itu bakal mencerahkan peluang dalam saingan perebutan kerusi DUN berkenaan. 

"Pada pandangan saya kita boleh memenangi walaupun ada banyak isu di luar sana yang bermacam-macam dan saya harap jentera penerangan membuat penjelasan yang tuntas dan padu mengenai penyasaran subsidi diesel. Itu antara isu tumpuan utama di DUN Sungai Bakap," kata Ahmad Maslan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pembinaan Hospital Pasir Gudang, di sini.

Ahmad Maslan menyuarakan keyakinan terhadap calon yang diperkenalkan Pakatan Harapan (PH) itu, yang memenuhi kriteria anak tempatan dan latar belakang pendidikan tinggi. 

Semalam, gabungan Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminudin Baki Cawangan Utara Dr. Joohari Ariffin sebagai calon untuk bertanding pada PRK Sungai Bakap pada 6 Julai depan.

Pemilihan itu diumumkan Pengarah Pilihan Raya Perpaduan Rafizi Ramli dalam Majlis Pengumuman Calon Perpaduan PRK N20 Sungai Bakap di Bandar Tasek Mutiara, Pulau Pinang. 

Dalam pada itu, Ahmad Maslan memberitahu, Hospital Pasir Gudang yang sedang dalam pembinaan dijangka beroperasi sepenuhnya pada April tahun depan.

Katanya, projek itu telah mencapai kemajuan sebanyak 83.55 peratus iaitu mendahului dua bulan lebih awal daripada perancangan asal. 

"Bagaimanakah perkara ini boleh dicapai kerana pada ketika COVID-19 mereka boleh terus melaksanakan projek dengan kaedah yang tertentu, namun yang penting adalah kelulusan daripada Jabatan Kerja Raya supaya Sistem Bahan Binaan Berindustri (IBS) boleh dilaksanakan di tempat ini tidak perlu untuk mengambil barangan IBS daripada kilang-kilang yang ada di luar tetapi mereka melaksanakan IBS di tempat ini," kata Ahmad Maslan.

Projek bernilai RM375.7 juta itu melibatkan enam skop kerja iaitu membina sebuah hospital bertaraf hospital pakar, kuaters kelas G, asrama jururawat, bangunan mekanikal dan elektrik, bangunan sokongan serta kerja-kerja infra.

Ia bakal dilengkapi dengan 304 buah katil, 14 perkhidmatan pakar, lapan bilik pembedahan, 65 bilik konsultasi rawatan pesakit luar, rumah mayat, farmasi pandu lalu dan lebih 1,000 ruang parkir.

TETITIA YUSOFF