NIBONG TEBAL,16 Jun-Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Nibong Tebal, Abidin Ismail dipilih sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap 6 Julai depan.
Pengumuman tersebut dibuat Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man pada majlis pengumuman calon PN di Simpang Ampat di sini malam tadi (Sabtu).
Pemilihan Abidin,56 tahun yang merupakan bekas Pegawai khas allahyarham Zamri Latiff dimuktamadkan Majlis Syura Ulama (MSU) PAS berdasarkan latarbelakang dan kelayakan beliau.
Hadir sama pada majlis tersebut Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Naib Presiden BERSATU, Datuk Radzi Jidin, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Piliharan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Terdahulu, Kerajaan Perpaduan meletakkan Dr Joohari Ariffin sebagai calon untuk bertanding dalam PRK berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai ini sebagai hari mengundi bagi PRK Sungai Bakap dan 22 Jun hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 2 Julai.
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandang, Nor Zamri pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.