fb fb fb fb fb

PRK Ayer Kuning: Proses pengundian berjalan lancar

Datuk Seri Ramlan Harun / Foto RTM

TAPAH, 26 April- Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning berjalan lancar.

Kesemua pusat pengundian telah ditutup pada pukul 6.00 petang tadi dengan 54.01 peratus pengundi direkodkan menunaikan tanggungjawab setakat pukul 4.00 petang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun meluangkan masa meninjau proses pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Bidor pada pukul 10.30 pagi.

"Alhamdulillah proses pengundian berjalan lancar di semua lebih daripada 60 pusat mengundi yang kita ada. Saya melihat keadaannya tenang, aman dan tertib.

"SPR telah menerima 36 laporan berkaitan kesalahan pilihan raya terutamanya melibatkan bahan kempen," katanya.

Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 63 saluran dibuka serentak pada pukul 8.00 pagi tadi bagi membolehkan 31,281 pengundi berdaftar menjalankan tanggungjawab mereka hari ini.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.

Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional, Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM