fb fb fb fb fb

Barisan Nasional berjaya pertahan kerusi Ayer Kuning

Foto BERNAMA

TAPAH, 26 April- Calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir berjaya memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.48 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan BN berjaya mempertahankan kerusinya, dengan majoriti undi sebanyak 5,006 dalam saingan tiga penjuru.

Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu, lebih mesra dengan sapaan Ustaz Yusri, meraih 11,065 undi untuk menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 6,059 undi dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS (1,106 undi).

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori di pusat penjumlahan undi di Dewan Merdeka, di sini.

Ahmad Redhauddin turut mengumumkan bahawa 289 undi ditolak dan peratusan keluar mengundi pada PRK itu ialah 58.07 peratus.

Keputusan tersebut menyaksikan DUN Ayer Kuning terus menjadi kubu kuat BN yang dikuasai parti berkenaan sejak 1986.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM