fb fb fb fb fb

Belia Sabah seru pemimpin baharu utamakan pembangunan, peluang anak muda

FOTO BERNAMA

KOTA KINABALU, 21 Oktober - Menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, golongan belia menyifatkan ia bukan sekadar proses memilih wakil rakyat, sebaliknya platform penting untuk memastikan isu pembangunan, ekonomi dan penyertaan kumpulan itu diberikan perhatian serius.

Seorang pengundi muda, Mohd Shahrul Hisham Harman berkata, pembangunan infrastruktur perlu menjadi keutamaan kerajaan baharu, khususnya projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Kalau pasal jalan raya tu paling penting untuk masa depan. Dalam pilihan raya ini, saya harap projek Pan Borneo diutamakan,” katanya.

Sementara itu, Flory Victoria Matius menyeru golongan belia agar turun mengundi bagi menentukan masa depan negeri.

“Saya mahu belia turun padang untuk mengundi. Harapan saya, sesiapa sahaja yang menjadi wakil rakyat akan datang dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Bagi Max Auldrick Jekito, aspek ekonomi dan perindustrian perlu diberi fokus utama.

“Saya harap wakil rakyat yang menang nanti akan memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi dan sektor perindustrian,” katanya.

Seorang lagi pengundi, Camelia Nyuk, menekankan kepentingan penglibatan generasi muda dalam proses demokrasi.

“Saya harap pilihan raya kali ini lebih banyak melibatkan golongan muda. Kebanyakan pemimpin sekarang terdiri daripada golongan berusia, jadi sudah tiba masanya anak muda diberi peluang untuk turut menentukan hala tuju negeri,” jelasnya.

 

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI