KOTA KINABALU, 6 Oktober- Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah ke-17 yang dijadualkan diadakan dalam tempoh 60 hari.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor membuat pengumuman pembubaran berkenaan pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Bersama Wakil Rakyat Kerajaan Sabah di Menara Kinabalu, yang merupakan pusat pentadbiran negeri pada pukul 2.54 petang ini.
Pengumuman berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.
"Dengan perkenan tuan yang terutama Tun, DUN Sabah ke-16 akan dibubarkan berkuat kuasa hari ini, Isnin 06 Oktober 2025. Ini bagi memberi laluan kepada PRU DUN Sabah ke-17 dan memberi kuasa kepada rakyat Sabah menggunakan hak demokrasi mereka untuk menentukan siapa yang akan memimpin mereka.
"Keputusan ini mencerminkan komitmen kami terhadap demokrasi dan proses perlembagaan," katanya pada sidang media berkenaan.
Terdahulu, Hajiji menghadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu dan kenderaan yang membawa ketua menteri itu dilihat memasuki pekarangan istana pada 8.51 pagi.
Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) serta anggota Kabinet Negeri.
DUN Sabah mempunyai 79 kerusi, dengan 73 daripadanya dipertandingkan manakala enam lagi merupakan Ahli DUN yang dilantik.
Pada pilihan raya ke-16 2020, PRU DUN itu menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ketika itu berada dalam gabungan Perikatan Nasional bersama Barisan Nasional (BN) dan PBS serta sokongan Ahli DUN bebas, berjaya membentuk kerajaan Sabah apabila memperoleh 41 daripada 73 kerusi dipertandingkan.
Sementara Parti Warisan pula, memperoleh 23 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi sembilan kerusi.
GRS didaftarkan secara rasmi pada Mac 2022 dianggotai Bersatu, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP). Tiada penyertaan BN dan PAS dalam GRS.
Bagaimanapun, pada November tahun sama, Hajiji dan pemimpin Bersatu telah bertindak keluar daripada parti tersebut seterusnya menubuhkan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), sebelum Bersatu kemudiannya digugurkan daripada GRS.
Manakala pada Januari 2023, BN telah menarik balik sokongan terhadap kerajaan Sabah yang ketika itu dipimpin GRS.
Namun, PH mengambil keputusan untuk menyokong kerajaan negeri seterusnya mengekalkan kerajaan Sabah sedia ada dan Hajiji sebagai Ketua Menteri.