fb fb fb fb fb

PRK Sg Bakap, RTM salur informasi tepat dan pantas untuk pengundi

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman

GEORGE TOWN, 15 Jun- Radio Televisyen Malaysia (RTM) sudah bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang bakal berlangsung 6 Julai depan.

Segala persiapan telah dijalankan bagi memberikan liputan terbaik dalam menyalurkan informasi tepat kepada penonton dan pendengar terutamanya para pengundi.

Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata beliau yakin RTM dapat menyampaikan maklumat dengan pantas dan sahih, bukan sahaja melalui televisyen dan radio tetapi juga platform digital yang menjadi keutamaan pada masa kini.

"RTM memang mempunyai pengalaman dalam membuat liputan, tidak kira sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Kecil (PRK). Jadi kita sudah bersedia dan kita akan berikan yang terbaik dan segala informasi akan kita bawakan supaya pengundi mendapat informasi yang diperlukan."

"Kita boleh memberikannya dalam pelbagai platform seperti televisyen, radio dan digital. Paling penting, kita kena cepat dan tepat selain etika kerja yang profesional menjadi pegangan utama semua warga kerja RTM," kata Suhaimi kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di RTM Pulau Pinang, di sini.

Pada lawatan itu, beliau turut meluangkan masa selama 20 minit dalam slot khas Radio Malaysia Pulau Pinang (MutiaraFM) bersama DJ Bam Bam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap adalah pada 6 Julai ini.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM