fb fb fb fb fb

Pengasuh direman, bantu siasatan kes bayi usia lima bulan patah tangan

Foto Fail

KEMAMAN, 15 Jun- Seorang pengasuh direman tujuh hari sehingga 21 Jun depan bagi membantu siasatan kes bayi perempuan berusia lima bulan yang patah tangan kiri dan cedera pada kepala selepas dihantar ke rumahnya, di Taman Banggol Indah, Paya Berenjut, Kemaman.
 
Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
  
Kira-kira pukul 3.30 petang semalam, polis menahan pengasuh wanita terbabit berusia berusia 29 tahun di rumahnya bagi membantu siasatan.
 
Pengasuh terbabit tiba di Mahkamah Kemaman kira-kira pukul 10.05 pagi tadi dengan kenderaan polis bagi mendapatkan perintah reman.
 
Semalam, media melaporkan seorang bayi perempuan berusia lima bulan mengalami patah tangan kiri dan cedera pada bahagian kepala selepas diperiksa pegawai perubatan di Hospital Kemaman.
 
Sebelum itu, bayi berkenaan dibawa ibunya ke hospital untuk menerima rawatan kira-kira pukul 11.30 pagi selepas ibu mangsa mendapati anaknya seperti tidak bermaya.
 
Sebelum kejadian, ibu bayi berkenaan dihubungi pengasuh terbabit memaklumkan bahawa anaknya tidak sihat dan mengalami demam selepas satu jam bayi itu dihantar ke rumah pengasuh.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM