fb fb fb fb fb

Saingan 'satu lawan satu' di PRK Sungai Bakap

Abidin Ismail (calon PN) dan Dr Joohari Ariffin (calon PH)

NIBONG TEBAL, 22 Jun- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menyaksikan saingan 'satu lawan satu' antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

PH mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr Joohari Ariffin, manakala PN meletakkan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairulnizam Hashim mengumumkan calon yang layak bertanding itu selepas proses penamaan calon tamat pada pukul 10.00 pagi tadi di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi di sini.

"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaannya," katanya.

Khairulnizam memaklumkan Joohari, 60, yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada 9.03 pagi diikuti Abidin, 56, pada 9.06 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam pada 5 Julai dengan pengundian awal pada 2 Julai dan hari mengundi pada 6 Julai depan.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Ogos tahun lepas, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

SITI AISHAH MD ISA