fb fb fb fb fb

Polis Pulau Pinang tubuh pasukan khas, pantau isu 3R sepanjang kempen PRK Sungai Bakap

Foto hiasan

SUNGAI BAKAP, 21 Jun- Polis Pulau Pinang menubuhkan satu pasukan khas bagi tujuan pemantauan berhubung isu 3R (raja, agama, bangsa) yang ditimbulkan semasa kempen dan ceramah parti politik sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecik (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, isu berkaitan 3R sememangnya diberikan perhatian khusus oleh pihak polis dalam memastikan proses pengundian berjalan lancar.

"semalam Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan telah berjumpa dengan wakil-wakil calon dan telah memberi maklumat berkenaan perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam tempoh pilihan raya berlangsung terutama berkaitan isu 3R.

"...jadi isu 3R ini kita nasihatkan orang ramai atau parti yang bertanding untuk mengelakkan daripada menggunakan isu-isu ini sebagai kempen ataupun berkaitan dengan meraih sokongan," katanya kepada pemberita di sini.

Pada masa sama pihaknya turut menasihati parti yang bertanding untuk memohon permit lebih awal supaya polis dapat mengawal dan menyelia sesuatu ceramah atau perhimpunan bagi tujuan keselamatan.

Seramai 600 pegawai dan anggota polis akan bertugas bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang hari penamaan calon PRK Sungai Bakap pada esok.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI