fb fb fb fb fb

Polis kenal pasti kawasan panas PRK Sungai Bakap

Foto hiasan

GEORGE TOWN, 18 Jun- Polis Pulau Pinang mengenal pasti beberapa lokasi panas (hotspot) di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu yang akan membuka tirai pada Sabtu ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata, pengundi atau penduduk kawasan itu tidak perlu bimbang kerana pihak polis sudah mengambil semua langkah termasuk tahap kesiapsiagaan tertinggi.

"Polis berada pada tahap siap sedia tertinggi dalam persiapan untuk berdepan dengan PRK DUN Sungai Bakap dan setakat ini kita juga kenal pasti beberapa kawasan panas selain kenal pasti kawasan-kawasan lain di situ yang mungkin menjadi lokasi panas," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini.

Seramai 1,000 pegawai dan anggota polis kontinjen Pulau Pinang akan bertugas sepanjang PRK berkenaan bermula daripada penamaan calon sehingga proses pengundian bagi memastikan kelancaran.

"Setakat ini, Polis Pulau Pinang akan menggunakan sumber yang ada (anggota dan pegawai dari Kontinjen Pulau Pinang) untuk bertugas sepanjang tempoh PRK Sungai Bakap melainkan jika ada keperluan mendesak kita akan mohon bantuan dari negeri lain," katanya lagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari mengundi manakala 22 Jun merupakan hari penamaan calon.

Pengundian awal pula diadakan pada 2 Julai.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Mohd Nor pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI