
KUALA LUMPUR, 23 April – Khazanah Nasional Berhad memberi amaran berhubung kegiatan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan nama, logo dan identiti Khazanah untuk memperdaya orang ramai.
- Waspada akaun palsu di media sosial dan aplikasi pesanan segera seperti Telegram yang menipu dengan tawaran pelaburan.
- Pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama, logo dan imej pimpinan untuk mempromosi skim pelaburan palsu.
- Jangan membalas mesej mencurigakan, jangan kongsi maklumat peribadi dan sahkan melalui info@khazanah.com.my atau laman rasmi.
Kegiatan itu dikesan berlaku terutamanya melalui platform media sosial dan aplikasi pesanan segera seperti Telegram.
“Pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar di sebalik akaun palsu ini cuba memperdaya orang ramai menyertai skim pelaburan tidak wujud, di samping menyebarkan maklumat yang tidak sahih berkaitan Khazanah.
“Terdapat juga kes yang menyalahgunakan imej dan identiti kepimpinan Khazanah untuk mempromosikan pelaburan palsu,” jelas kenyataan dana kekayaan berdaulat itu, hari ini.
Ketua Tadbir Urus, Risiko dan Pematuhan Khazanah Nasional, Datuk Suhana Dewi Selamat menegaskan Khazanah tidak pernah menawarkan sebarang skim pelaburan kepada orang ramai.
“Kami juga tidak menyediakan platform atau perkhidmatan pelaburan kepada mana-mana individu.
“Sebagai pelabur institusi, peranan kami adalah melakukan pelaburan jangka panjang untuk negara berteraskan hala tuju ‘Memajukan Malaysia’, dengan fokus pelaburan berdisiplin dan pengurusan bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan sama.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membalas sebarang mesej yang mencurigakan, tidak berkongsi maklumat peribadi dan tidak melakukan sebarang aktiviti pembayaran kepada mana-mana individu atau entiti yang mendakwa mewakili Khazanah.
Khazanah tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sewajarnya dan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi menangani kegiatan penipuan itu.
Orang ramai yang menerima sebarang kandungan yang mencurigakan terutamanya melalui saluran bukan rasmi Khazanah, digalakkan menghubungi Khazanah di info@khazanah.com.my bagi tujuan pengesahan.
Untuk sebarang maklumat rasmi, rujuk laman sesawang rasmi Khazanah di www.khazanah.com.my, selain akaun media sosial di Facebook, Instagram dan LinkedIn.