Kestabilan negara, perkembangan pesat pusat data pacu keyakinan pelabur teknologi ke Malaysia

Kestabilan negara merupakan kekuatan yang sangat penting, selain daripada ledakan industri pusat data yang sedang berkembang pesat, menurut Pengerusi PIKOM Prof. Alex Liew. Foto hiasan.

KUALA LUMPUR, 23 April – Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk terus menarik pelaburan teknologi, disokong oleh keyakinan pelabur terhadap prospek negara meskipun berdepan pelbagai ketidaktentuan global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kestabilan negara merupakan kekuatan penting yang memacu keyakinan pelabur teknologi.
  • Ledakan dan perkembangan pesat pusat data meningkatkan minat serta peluang pelaburan teknologi.
  • Permintaan tinggi memerlukan penggunaan tenaga alternatif seperti solar dan nuklear untuk pertumbuhan mampan pusat data.

Pengerusi Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (PIKOM), Prof. Alex Liew berkata, keyakinan para pelabur terhadap negara itu dipacu oleh kestabilan negara yang konsisten serta perkembangan pesat industri pusat data di Malaysia.

“Saya berpendapat Malaysia berada dalam kedudukan yang agak baik ketika ini. Kestabilan negara kita merupakan kekuatan yang sangat penting, selain daripada ledakan industri pusat data yang sedang berkembang pesat.

“Kita menawarkan ekonomi yang stabil serta kepimpinan yang kukuh kepada para pelabur. Pada masa ini, saya merasakan ia adalah peluang yang sangat baik dan satu ruang yang amat berpotensi untuk pelabur datang ke Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran laporan ‘Beyond Compliance: The Continuing Saga of Malaysia’s Cybersecurity Landscape’ sempena Sidang Kemuncak Masa Depan Keselamatan Siber (FOCS) 2026, di sini hari ini.

Mengulas impak ketidaktentuan global terhadap sektor pusat data, katanya industri tersebut perlu mempertimbangkan penggunaan tenaga alternatif seperti solar dan tenaga nuklear, memandangkan keperluan tenaga yang tinggi dalam menghadapi krisis bekalan global.

Menurutnya, permintaan terhadap pusat data yang semakin meningkat memerlukan pendekatan tenaga yang lebih mampan bagi memastikan kelangsungan pertumbuhan industri tersebut di Malaysia.