PayNet rekod 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada 2025

Foto Facebook PayNet

KUALA LUMPUR, 23 April – Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) merekodkan 8.44 bilion transaksi pembayaran digital pada 2025, membuktikan kaedah itu terus menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pertumbuhan dikuasakan penerimaan meluas oleh bank dan institusi bukan bank; transaksi bank naik 30.69% manakala bukan bank 71.7%.
  • Purata 6.3 juta transaksi harian, dengan aktiviti meningkat semasa musim perayaan.
  • 681,250 titik penerimaan DuitNow QR baharu termasuk 267,780 PMKS, menjadikan lebih tiga juta titik sentuh berdaftar.
  • Portal Antipenipuan Nasional (NFP) percepat perkongsian maklumat; 57,700 akaun mangsa dikesan dan RM46 juta sedang dipulangkan.

Rangkaian pembayaran nasional itu memaklumkan perkembangan berkenaan didorong oleh penerimaan meluas dalam kalangan bank, institusi bukan bank, perniagaan dan pengguna.

Transaksi berkenaan turut merangkumi penggunaan harian dalam sektor runcit, pengangkutan, pemindahan antara individu serta perniagaan kecil.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PayNet, Praveen Rajan pertumbuhan pembayaran digital yang berterusan mencerminkan perubahan ketara dalam urusan kewangan harian rakyat di negara ini.

”PayNet kekal komited untuk menyokong pertumbuhan ekosistem pembayaran melalui usaha memperkukuh infrastruktur yang stabil, selamat dan mudah diakses di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

PayNet menyifatkan pertumbuhan pada 2025 dipacu oleh penyertaan yang semakin meluas dalam ekosistem pembayaran.

Jumlah transaksi bank meningkat sebanyak 30.69 peratus, manakala transaksi bukan bank mencatat pertumbuhan 71.7 peratus, menunjukkan ekosistem yang lebih pelbagai serta inklusif.

Peningkatan itu menyumbang kepada purata 6.3 juta transaksi setiap hari berbanding 2024, selain peningkatan aktiviti ketika tempoh perayaan seperti cuti akhir tahun dan sambutan utama.

Pengembangan itu turut disokong oleh penggunaan lebih meluas dalam kalangan perniagaan dan rakyat.

“Sebanyak 681,250 tempat penerimaan baharu DuitNow QR diperkenalkan, termasuk 267,780 dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadikan jumlah keseluruhan titik sentuh berdaftar di seluruh negara melebihi tiga juta,” katanya.

Bagaimanapun, peningkatan penggunaan pembayaran digital menimbulkan cabaran baharu, khususnya penipuan kewangan semakin canggih menjadikannya lebih sukar untuk dikesan dan dicegah.

Sebagai tindak balas, usaha menyeluruh terus diperkukuh melalui kerjasama erat antara institusi kewangan, pengawal selia dan rakan dalam ekosistem.

Ini termasuk Portal Antipenipuan Nasional (NFP) yang dibangunkan oleh PayNet dan berfungsi sebagai platform pusat untuk perkongsian maklumat antara institusi, mempercepatkan pengenalpastian akaun keldai serta penyelarasan tindakan dalam menangani aktiviti penipuan.

”Menerusi usaha itu, kira-kira 57,700 akaun mangsa berjaya dikesan melibatkan RM46 juta dana yang sedang dalam proses pemulangan kepada pengguna terjejas,” jelas Paynet.

Sementara itu, peningkatan penggunaan domestik membuka ruang kepada perniagaan di Malaysia untuk menyertai aliran pembayaran rentas sempadan melalui rangkaian DuitNow QR.

Tahun lalu, transaksi QR rentas sempadan meningkat 2.5 kali ganda kepada 29.7 juta transaksi.