
ANGKASAPURI KOTA MEDIA, 21 April – Orang ramai disaran mengurus kewangan secara lebih berhemat dan mengelakkan membuat keputusan secara beremosi atau panik susulan ketidaktentuan ekonomi ketika tekanan inflasi global berterusan.
- Elakkan keputusan kewangan emosi atau panik; jangan ikut trend tanpa semakan.
- Bezakan keperluan dan kehendak; utamakan perbelanjaan perlu, tunda kehendak.
- Pilih pelaburan selamat berisiko rendah dengan pulangan sederhana dalam ekonomi tidak menentu.
- Sediakan dana kecemasan tiga hingga enam bulan perbelanjaan, lebih tinggi bagi pendapatan tidak tetap.
Profesor Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Prof Dr Nurul Shahnaz Ahmad Mahdzan, berkata tindakan terburu-buru dalam keadaan tidak menentu boleh membawa kepada keputusan tidak rasional, termasuk kecenderungan mengikut trend pelaburan tanpa semakan teliti atau ‘herd mentality’.
“Yang pentingnya kita jangan membuat keputusan kewangan ini secara emosi dan panik. Bila kita melakukan sesuatu secara panik, kadang-kadang kita tidak rasional dan kita sering mengikut apa yang orang lain buat,” katanya kepada pemberita RTM selepas bersiaran dalam program Selamat Pagi Malaysia.
Beliau turut menegaskan, orang ramai juga perlu bijak membezakan antara keperluan dan kehendak, dengan keutamaan diberikan kepada perbelanjaan yang tidak boleh ditangguh, manakala kehendak boleh dirancang atau ditunda.
Dari sudut simpanan dan pelaburan, beliau menyarankan pendekatan lebih selamat dan berisiko rendah, khususnya dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu.
“Dalam keadaan krisis seperti sekarang ini, kita perlu memilih pelaburan yang selamat, yang memberi pulangan sederhana tetapi risikonya juga rendah,” katanya.
Beliau turut menekankan keperluan dana kecemasan, di mana ia kekal menjadi benteng perlindungan kewangan yang penting, dengan orang ramai disaran mempunyai simpanan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan, dan lebih tinggi bagi mereka yang berpendapatan tidak tetap atau ketika berdepan situasi krisis.
Beliau berkata, pengalaman berdepan pandemik COVID-19 seharusnya menjadi pengajaran bahawa disiplin kewangan dan perancangan rapi amat penting dalam menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi pada masa hadapan.