
PUTRAJAYA, 21 April – Kerajaan mempergiat usaha ke arah peralihan kepada kriptografi pasca-kuantum (PQC) susulan perkembangan pesat teknologi disruptif khususnya dalam bidang pengkomputeran kuantum yang dijangka mengubah landskap keselamatan digital negara.
- Pengkomputeran kuantum berpotensi memecahkan kriptografi sedia ada, mengancam keselamatan data dan integriti maklumat negara.
- Negara mesti bersedia awal menghadapi implikasi besar terhadap keselamatan dan integriti maklumat masa hadapan.
- Memperkuatkan agensi terlibat seperti MYNIC dan NACSA untuk menghadapi ancaman kuantum pada masa depan.
- Peralihan segera kepada kriptografi pasca kuantum untuk menggantikan protokol DNSSEC dan memperkukuh pertahanan siber negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, langkah itu penting kerana keupayaan pengkomputeran kuantum berpotensi memecahkan kod kriptografi sedia ada yang selama ini menjadi benteng perlindungan data rakyat.
Menurut beliau, negara perlu membuat persediaan lebih awal bagi menangani implikasi besar terhadap keselamatan data serta integriti maklumat pada masa hadapan.
“Itulah sebabnya ada keperluan untuk kita memperkuat agensi, terutamanya agensi-agensi yang akan menghadapi ancaman-ancaman baru ini pada masa akan datang.
“Saya merakamkan penghargaan kepada MYNIC dan NACSA kerana agensi-agensi ini memikul tanggungjawab yang besar.
“Ini kerana apabila kita membangunkan teknologi dengan begitu pesat, kita juga menggalakkan pihak lain untuk mengguna pakai teknologi tersebut,” katanya kepada RTM.
Gobind berkata, walaupun teknologi kuantum menjanjikan lonjakan luar biasa dari segi kuasa pemprosesan, ia turut berpotensi mengubah secara drastik struktur keselamatan digital global.
Katanya, menerusi pelaksanaan kriptografi pasca-kuantum, kerajaan dapat memastikan Sistem Nama Domain (DNS) negara terus kekal selamat dengan menggantikan protokol kriptografi dalam DNSSEC yang kini terdedah kepada risiko ancaman kuantum.
Sehubungan itu, beliau menegaskan peralihan kepada PQC bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan mendesak sebagai langkah memperkukuh pertahanan siber negara untuk masa depan.