Komuniti Kristian Lubnan hidup dalam ketakutan dengan rejim Zionis

Penganut Kristian berdoa di gereja di Lubnan ketika konflik Israel-Hizbullah sedang memuncak/Foto REUTERS

AIN EBEL, 22 April – Penduduk komuniti Kristian di selatan Lubnan dipercayai hidup dalam ketakutan susulan operasi ketenteraan rejim Zionis Israel di kawasan mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komuniti Kristian di selatan Lubnan hidup dalam ketakutan, terperangkap dan berusaha terus hidup mengelakkan kematian.
  • Beberapa kampung kini dikepung dan mengalami kesukaran mendapatkan bekalan makanan akibat sekatan dan kemusnahan.
  • Wakil komuniti menafikan dakwaan penduduk dijadikan perisai manusia oleh Hizbullah, menentang tuduhan itu.
  • Israel menafikan merosakkan patung; dua anggota tentera dikenakan tindakan disiplin termasuk penjara 30 hari semasa gencatan senjata.

Seorang wakil komuniti itu, yang enggan dikenali, berkata kampung-kampung berhampiran kini berdepan kemusnahan dan sekatan.

“Kami sudah menderita di selatan selama 50 tahun, namun tiada siapa peduli. Mereka membunuh orang dan memusnahkan rumah, seperti di Gaza, kini ia mula berlaku di selatan negara kami,” katanya.

Menurutnya, beberapa kampung Kristian kini dikepung, dengan penduduk berdepan kesukaran mendapatkan bekalan makanan.

“Penduduk di sini sangat ketakutan. Israel memusnahkan segalanya, keadaan amat menakutkan. Mereka pernah berada di sini dari 1975 hingga 2000 sebelum diusir, dan kami berharap perkara sama berulang. Kini mereka lebih ganas dan kejam, sebab itu orang semakin takut.

“Keutamaan kami sekarang adalah untuk terus hidup dan mengelakkan kematian. Kami benar-benar terperangkap,” katanya.

Dia turut menafikan dakwaan Israel bahawa penduduk dijadikan perisai manusia oleh Hizbullah.

Tentera Israel bagaimanapun menafikan dakwaan merosakkan patung seperti tular di media sosial.

Dua anggota tentera Israel juga dilaporkan dikenakan tindakan disiplin, termasuk dipenjarakan selama 30 hari.

Perkembangan itu berlaku ketika gencatan senjata 10 hari antara Israel dan Hizbullah masih berkuat kuasa. – VIORY