BUDI Diesel RM400: Mekanisme penampan lindungi sektor pertanian, logistik

Pensyarah Jabatan Ekonomi UIAM, Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin (kiri) dan Timbalan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Fasiliti dan Digital) UKM, Prof. Madya Dr. Mustazar Mansur (kanan)

KUALA LUMPUR, 21 April– Penambahan RM100 dalam bantuan tunai di bawah inisiatif BUDI Diesel dan BUDI Agri-Komoditi dilihat sebagai langkah strategik bagi mengurangkan tekanan kos operasi, khususnya dalam sektor pertanian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan berfungsi sebagai penampan untuk melindungi sektor pertanian daripada kejutan luaran.
  • Manfaat lebih ketara bagi pekebun kecil berbanding pengusaha berskala sederhana dan besar.
  • Keberkesanan bergantung kepada tindak balas sektor pengangkutan dan pengedaran untuk mengekang pemindahan kos kepada pengguna.

Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berpandangan, langkah tersebut amat wajar kerana berupaya menyokong kelangsungan sektor pertanian tanpa memberi impak besar kepada kedudukan kewangan negara bagi tempoh jangka panjang.

“Tambahan RM100 ini berfungsi sebagai shock absorber atau penampan bagi melindungi sektor pertanian daripada kejutan luaran.”

“Walaupun ia tidak seharusnya dianggap sebagai pengganti kos secara menyeluruh, bantuan ini berupaya membantu mengekalkan kestabilan rantaian bekalan pengeluaran pertanian, terutamanya di peringkat pekebun kecil,” katanya kepada RTM.

Tambah beliau, keberkesanan bantuan tersebut akan dirasai secara berbeza mengikut skala operasi.

Manfaatnya lebih ketara buat pekebun kecil berbanding pengusaha berskala sederhana dan besar, yang lazimnya mempunyai kadar penggunaan diesel yang jauh lebih tinggi.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Eksekutif (Pengurusan Fasiliti dan Digital) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mustazar Mansur menyatakan bahawa kesan tambahan bantuan itu turut bergantung kepada tindak balas sektor pengangkutan serta pengedaran.

“Pemberian bantuan tunai kepada pemilik kenderaan diesel merupakan langkah yang tepat dalam mendepani situasi harga bahan api yang tinggi ketika ini. Ia secara tidak langsung membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pemain industri, merangkumi sektor pertanian, logistik dan pengangkutan,” katanya kepada RTM.

Menurut beliau, sekiranya pemain industri dalam sektor pengangkutan mampu menyerap sebahagian daripada kenaikan kos tersebut, ia akan membantu mengekang kenaikan harga barangan runcit daripada terus dipindahkan kepada pengguna akhir.

Terdahulu, Kementerian Kewangan memaklumkan tambahan RM100 bantuan interim mula disalurkan hari ini kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan sebanyak RM400 bagi setiap penerima.

Langkah itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan bantuan bersasar sampai kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam mendepani peningkatan kos sara hidup dan harga bahan api.