Misi Mahasiswa 3.0: UKM teruskan usaha perkasa komuniti luar bandar

Kerja bakti ini merupakan komitmen UKM untuk memastikan kehadiran mahasiswa memberikan kesan fizikal yang positif dan mampan kepada penduduk setempat.

MARAN, 21 April – Usaha membangunkan komuniti luar bandar dan memperkasa potensi belia diteruskan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi penganjuran Misi Mahasiswa 3.0: Pahang yang dijadual berlangsung dari 23 April hingga 3 Mei 2026 ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus program di Felda Jengka 11 dan penempatan Orang Asli Kampung Bangas bagi memperkasa komuniti luar bandar.
  • Modul pendidikan seperti Aspirasi Legasi dan Cilik Bestari gunakan eksperimen interaktif untuk menyuntik aspirasi serta minat terhadap sains.
  • Pembangunan kepimpinan melalui Persona Pemimpin dan Debat Apokalips asah pemikiran kritis, komunikasi dan etika pemimpin.
  • Integrasi sosial dan khidmat masyarakat dengan Sukan Rakyat, Santunan Kasih keluarga angkat serta Gotong-Royong Perdana memperbaiki infrastruktur.

Program berimpak tinggi anjuran Kelab Kepimpinan Akrab Kolej Dato’ Onn (KDO) ini akan memfokuskan aktiviti di Felda Jengka 11 serta penempatan Orang Asli di Kampung Bangas, Maran.

KDO dalam kenyataannya memaklumkan, program bertemakan “Menginspirasi Perubahan, Menyemai Keharmonian” ini bertujuan menyemai semangat belajar dan memupuk nilai kepimpinan dalam kalangan mahasiswa serta masyarakat setempat menerusi pelbagai modul pembangunan insaniah dan aktiviti kesukarelawanan.

“Bagi aspek pendidikan, modul ‘Aspirasi Legasi’ memperkenal peluang pendidikan tinggi mengikut personaliti pelajar, manakala modul ‘Cilik Bestari’ membawa murid sekolah rendah meneroka keajaiban sains.

“Eksperimen interaktif seperti Misi Lava Merah dan simulasi Fasa Bulan digunakan untuk menyuntik aspirasi agar pelajar melihat pendidikan sebagai kunci transformasi masa depan,” menurut kenyataan itu.

Pembangunan kepimpinan pula ditekankan melalui modul ‘Persona Pemimpin’ yang mencabar ketangkasan berfikir secara kritis serta melatih kemahiran komunikasi dan etika pemimpin.

Para peserta turut diuji dengan slot ‘Debat Apokalips’ yang direka khusus untuk mengasah keupayaan intelektual dan kemahiran berhujah dalam situasi luar jangka.

Selain itu, integrasi sosial bersama komuniti Orang Asli di Kampung Bangas dijalankan bagi merapatkan jurang sosiobudaya menerusi aktiviti Sukan Rakyat.

Kenyataan sama turut memberitu, program ‘Santunan Kasih’ menggunakan pendekatan keluarga angkat juga dijalankan bagi mewujudkan ikatan emosi yang mendalam antara mahasiswa dan penduduk Felda.

Sebagai penutup, aktiviti Gotong-Royong Perdana diadakan bagi memulihara infrastruktur dan fasiliti awam di kawasan terlibat.

Kerja bakti ini merupakan komitmen UKM untuk memastikan kehadiran mahasiswa memberikan kesan fizikal yang positif dan mampan kepada penduduk setempat.