
JELI, 21 April – Seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Batu 6, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Batu Melintang, di sini petang semalam berjaya ditahan.
- Kenderaan memecut laju melalui SJR dan meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.
- Beberapa pil kemerah-merahan disyaki dadah ditemui dalam keratan straw di bawah pelapik kaki pemandu dan tepi pintu pemandu.
- Anggota mengesan kenderaan di Tanah Merah; suspek enggan berhenti dan bertindak melanggar kenderaan polis sebelum ditahan.
- Ujian saringan awal positif dadah; kes disiasat di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis dan beberapa seksyen Akta Dadah Berbahaya.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, penahanan itu membawa kepada penemuan beberapa biji pil disyaki dadah.
“Pil berwarna kemerah-merahan yang berada dalam keratan straw ditemukan di bawah pelapik kaki pemandu dan di tepi pintu bahagian pemandu,” jelasnya.
Terdahulu, dalam kejadian pada pukul 6.20 petang, sebuah kenderaan yang datang dari arah Gerik menuju Jeli bertindak memecut laju ketika melalui SJR dan meloloskan diri daripada pemeriksaan polis.
Bagaimanapun tindakan pantas anggota peronda dan pasukan khas Ibu Pejabat Daerah Jeli berjaya mengesan kenderaan terbabit di Tanah Merah.
Superintenden Kamarulzaman memberitahu, suspek enggan memberhentikan kenderaan ketika diarah dan bertindak melanggar kenderaan polis sebelum berjaya diberkas.
“Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah dan kes disiasat bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.