
BENTONG, 21 April – Cubaan menyeludup masuk 88,392 kilogram sisa eletronik (e-waste) bernilai RM3.09 juta dari Amerika Syarikat, Panama dan Sepanyol berjaya digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang.
- JKDM bersama agensi berkaitan menahan lima kontena e-waste di Pelabuhan Utara, Port Klang selepas pemeriksaan.
- Pengimport mengisytiharkan barangan sebagai 'copper concentrate' tetapi disyaki berniat membawa masuk e-waste; siasatan dijalankan.
- E-waste mengancam alam sekitar kerana pemprosesan plastik tidak terurai; import e-waste diharamkan mulai 1 April.
Menurut Pengarahnya, Mohd Asri Seman kesemua e-waste berkenaan yang berada dalam lima kontena dikesan di Pelabuhan Utara, Port Klang, Selangor, awal bulan ini.
Katanya, JKDM Bentong dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar Selangor, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia, Lembaga Pelabuhan Klang serta SIRIM Malaysia telah menjalankan pemeriksaan dan menahan lima kontena tersebut.
“Siasatan awal mendapati kes ini membabitkan e-waste yang dibawa masuk ke Malaysia sedangkan pengimport membuat pengikraran dagangan sebagai ‘copper concentrate’. Pengimport berniat membawa masuk e-waste ke negara ini,” jelasnya.
Tambah beliau, terdapat kilang dalam negara yang memproses sisa elektronik bagi mendapatkan emas, tembaga dan aluminium.
Bagaimanapun ujar beliau, proses tersebut akan menyebabkan alam sekitar tercemar kerana melibatkan plastik yang tidak terurai.
Jelas beliau, berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan, Perintah Kastam berkuat kuasa 1 April lalu, pengimportan barangan e-waste merupakan barang larangan import
secara mutlak.
Kes disiasat bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.