Lebih 7,000 wanita di Perak terima manfaat melalui 50 program ekonomi

Lebih 50 program pembangunan ekonomi wanita telah dilaksanakan . Foto ARKIB

IPOH, 21 April – Lebih 7,000 wanita di Perak menerima manfaat daripada pelbagai program pengupayaan wanita hasil peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM900,000 bagi tempoh 2025 hingga Mac tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif diselaras oleh Sekretariat Pembangunan Wanita (SPW) dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) untuk koordinasi program.
  • Pendekatan memberi penekanan kepada keseimbangan pembangunan sosial dan ekonomi wanita secara menyeluruh.
  • Keupayaan wanita menjana pendapatan tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan emosi, sokongan sosial dan persekitaran keluarga yang kondusif.
  • Lebih 50 program pembangunan ekonomi wanita dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan negeri.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pelaksanaan inisiatif itu diselaras menerusi Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat (SPW) serta Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP).

Menurut beliau, pendekatan yang dilaksanakan memberi penekanan kepada keseimbangan pembangunan sosial dan ekonomi wanita secara menyeluruh.

“Pendekatan ini penting kerana keupayaan wanita untuk menjana pendapatan tidak boleh dilihat secara terasing daripada faktor kestabilan emosi, sokongan sosial dan persekitaran keluarga yang kondusif.

“Keberkesanan pendekatan ini dapat dilihat melalui peningkatan penyertaan wanita dalam program-program yang dilaksanakan. Sepanjang sambutan Bulan Wanita Negeri Perak 2026, lebih 2,500 penyertaan direkodkan melibatkan wanita daripada pelbagai latar belakang termasuk golongan B40,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan lisan dalam Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Tambah beliau, peningkatan penyertaan itu bukan sahaja dari segi jumlah, malah turut menyumbang kepada peningkatan keyakinan diri serta keupayaan wanita untuk berdikari.

Dalam tempoh sama, lebih 50 program pembangunan ekonomi wanita telah dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai agensi.

Menurutnya, pendekatan bersepadu tersebut diyakini mampu memperkukuh peranan wanita sebagai pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi negeri.