Peruntukan SJPP bantu PMKS kekal berdaya tahan

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 21 April – Peruntukan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) mampu membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang berdepan tekanan kos susulan krisis bekalan global, kata Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) Datuk William Ng.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peningkatan liputan pembiayaan kepada 80% dan lanjutan tempoh jaminan bantu PMKS urus cabaran aliran tunai.
  • Lanjutan tempoh jaminan daripada tujuh tahun kepada 10 tahun mengambil kira kesan krisis bekalan global.
  • Pelanjutan peralihan e-invois Fasa 4 selama 12 bulan beri kelegaan untuk tumpu kelangsungan operasi PMKS.
  • Langkah ini lebih baik berbanding moratorium pinjaman pukal yang boleh memanjangkan tempoh dan meningkatkan bayaran faedah.

Menurut  beliau, peningkatan liputan pembiayaan kepada 80 peratus serta lanjutan tempoh jaminan pula membolehkan PMKS mengurus cabaran aliran tunai.

“Lebih penting lagi ialah lanjutan tempoh daripada tujuh tahun kepada 10 tahun, dengan mengambil kira krisis bekalan global yang mungkin belum pernah kita alami sebelum ini.

“Langkah ini dapat membantu PMKS yang berdepan cabaran mendapatkan pembiayaan, membayar balik pinjaman sedia ada serta mengurus aliran tunai ketika krisis ini,” katanya pada majlis pelancaran Pensijilan Ekonomi Kitaran ASEAN (CEC) untuk PKS, di sini.

Mengulas pelanjutan tempoh pelaksanaan e-invois Fasa 4 melalui tempoh peralihan tambahan selama 12 bulan sehingga 31 Disember 2027, beliau berpandangan ia memberi kelegaan kepada PMKS untuk menumpukan kepada kelangsungan operasi.

“Kami amat berterima kasih kepada Perdana Menteri atas pengumuman ini yang memberi ruang bernafas kepada PMKS dari segi pematuhan, supaya tumpuan mereka dapat diberikan kepada usaha mempertahankan perniagaan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pendekatan berkenaan lebih baik berbanding pemberian moratorium pinjaman secara pukal yang boleh memanjangkan tempoh pinjaman serta meningkatkan jumlah bayaran faedah.