
SIBU, 21 April – Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan lori simen di persimpangan lampu isyarat Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, pagi tadi.
- JBPM Sarawak terima panggilan kecemasan pada pukul 10.10 pagi dan gerakkan anggota Balai Bomba Sibu Sentral.
- Jentera tiba kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati mangsa tersepit di bawah kenderaan.
- Mangsa dikenal pasti sebagai Benet Kawit, 39 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan KKM.
- JBPM bantu PDRM keluarkan mangsa menggunakan peralatan khas, operasi ditamatkan pada 10.50 pagi dan punca masih disiasat.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.10 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral digerakkan ke lokasi kejadian.
“Jentera pertama tiba kira-kira 10 minit kemudian dan mendapati mangsa, seorang lelaki dewasa yang menunggang motosikal, berada di bawah lori simen berkenaan.
“Mangsa dikenali sebagai Benet Kawit, 39 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia,” menurut kenyataan tersebut.
Komander Operasi, PBK II Joannis Joseph Sawang, berkata pihaknya membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 10.50 pagi selepas kerja-kerja pembersihan di lokasi selesai dijalankan.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa.