Import lebih kuota, Kastam sita tiga kontena minuman keras

Siasatan awal mendapati barangan berkenaan diimport oleh sebuah syarikat yang memiliki lesen import sah dengan kuota sebanyak 250,000 liter, namun siasatan lanjut mendapati syarikat itu dipercayai telah membawa masuk kuantiti melebihi had yang dibenarkan, menurut Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag. Tuah. Foto JKDM Labuan

LABUAN, 21 April – Cubaan mengimport minuman keras dipercayai melebihi kuota yang dibenarkan terbongkar apabila Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan menyita tiga kontena dalam satu operasi penguatkuasaan di Pelabuhan Merdeka, dengan nilai rampasan melebihi RM1.29 juta termasuk duti dan cukai.

RINGKASAN BERITA AI
  • JKDM Labuan menyita tiga kontena minuman keras; nilai rampasan melebihi RM1.29 juta termasuk duti dan cukai.
  • Sindiket dilaporkan mengimport melalui tiga kontena dan membuat pengikraran menggunakan dua Borang Kastam No. 1.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 138 Akta Kastam 1967; pengimport wajib miliki lesen dan patuhi peraturan setem cukai.

Pengarah JKDM Labuan, Aspalila Ag. Tuah, berkata operasi dijalankan Pasukan Operasi Penguatkuasaan bersama Bahagian Perkastaman susulan maklumat risikan.

Menurut beliau, sindiket dipercayai menggunakan modus operandi mengimport minuman keras melalui tiga kontena dan membuat pengikraran menggunakan dua Borang Kastam No. 1.

“Siasatan awal mendapati barangan berkenaan diimport oleh sebuah syarikat yang memiliki lesen import sah dengan kuota sebanyak 250,000 liter, namun siasatan lanjut mendapati syarikat itu dipercayai telah membawa masuk kuantiti melebihi had yang dibenarkan.

“Pengimportan minuman keras tertakluk kepada pemilikan lesen import berdasarkan kuota yang diluluskan, selain perlu mematuhi penggunaan setem cukai yang diluluskan oleh Ketua Pengarah Kastam Malaysia mengikut Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya dalam sidang media khas di Kompleks Penguatkuasaan dan Pematuhan, Pangkalan Marin Kiansam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 138, Akta Kastam 1967.