
ISLAMABAD, 21 April – Pakistan meningkatkan langkah keselamatan di Zon Merah di ibu negara Pakistan, Islamabad ketika negara itu bersiap sedia menjadi tuan rumah kepada delegasi Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi rundingan damai pusingan kedua pada Rabu (22 April).
- Anggota renjer dan polis ditempatkan di sekatan menuju Serena Hotel, dengan pemeriksaan ketat serta had masuk kenderaan dan penumpang.
- AS yakin rundingan damai akan diteruskan di Pakistan, Iran mempertimbangkan penyertaan tetapi menghadapi cabaran dan ketidakpastian.
- Trump mahukan perjanjian yang mengelakkan kenaikan harga minyak dan impak pasaran, sambil menegaskan Iran tidak boleh membangunkan senjata nuklear.
Anggota renjer bersenjata dan polis ditempatkan di sekatan jalan raya menuju ke Serena Hotel — lokasi sama rundingan pusingan pertama yang berakhir tanpa sebarang persetujuan pada 12 April — dengan pemeriksaan ketat dilakukan ke atas penumpang serta kenderaan yang keluar masuk ke kawasan itu adalah terhad.
Amerika Syarikat menyatakan keyakinan bahawa rundingan damai dengan Iran akan diteruskan di Pakistan, manakala seorang pegawai kanan Iran memaklumkan Tehran sedang mempertimbangkan untuk menyertainya, namun ia berdepan pelbagai cabaran dan keadaan itu masih samar menjelang tamatnya gencatan senjata.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan mahu satu perjanjian yang dapat menghalang kenaikan harga minyak serta impak kepada pasaran saham, namun menegaskan Iran tidak boleh memiliki keupayaan membangunkan senjata nuklear.
Tehran berharap dapat memanfaatkan kawalan ke atas Selat Hormuz bagi mencapai perjanjian yang dapat mengelakkan konflik berulang, selain melonggarkan sekatan tanpa mengganggu program nuklear negara itu.
Sumber Pakistan yang terlibat dalam perbincangan berkata terdapat momentum untuk rundingan disambung semula pada Rabu (22 April), dan Trump berkemungkinan menyertainya sama ada secara fizikal atau maya sekiranya perjanjian berjaya dimeterai.- REUTERS