
KUALA LUMPUR, 21 April – Keutamaan terhadap kesejahteraan rakyat perlu menjadi antara teras utama dalam strategi ekonomi bagi mendepani persekitaran global yang tidak menentu.
- Sokongan dan insentif mencukupi untuk PMKS sebagai penyedia pekerjaan dan perkhidmatan penting.
- Menjamin kestabilan kos logistik bagi mengelakkan kejutan harga dan gangguan rantaian bekalan.
- Rangsangan ekonomi perlu dilaksanakan secara bersasar supaya tidak membebankan kedudukan fiskal negara.
- Langkah kewangan termasuk jaminan RM5 bilion SJPP, lanjutan e-Invois Fasa 4, dan pengecualian cukai import sementara.
Ketua Ekonomi Wawasanex, Adli Amirullah berkata sokongan berterusan kepada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) juga tidak boleh diketepikan berikutan sumbangan penting sektor itu kepada kelangsungan ekonomi domestik.
”Kita perlu pastikan insentif yang cukup untuk PMKS kerana mereka inilah yang menyediakan pekerjaan dan juga perkhidmatan.
”Kerajaan perlu memastikan kestabilan kos logistik bagi mengelakkan kejutan harga yang boleh memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan harga barangan pengguna,” katanya kepada RTM.
Dalam masa sama, kerajaan perlu memastikan kestabilan kos logistik bagi mengelakkan kejutan harga yang boleh memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan harga barangan pengguna.
Bagaimanapun, sebarang langkah rangsangan harus dilaksanakan secara bersasar bagi mengimbangi tekanan kos tanpa membebankan kedudukan fiskal negara.
Kementerian Kewangan dalam kenyataannya semalam mengumumkan beberapa langkah lanjutan bagi membantu kelangsungan operasi PMKS di negara ini.
Usaha itu merangkumi peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) serta tempoh peralihan tambahan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Dis 2027.
Kerajaan turut mempertimbangkan secara interim terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas pengimportan semula barangan buatan Malaysia yang tidak dapat melengkapkan proses eksport akibat gangguan konflik sehingga 31 Disember ini.