Tiga aspirasi Ekonomi MADANI catat kemajuan memberangsangkan

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Tiga daripada tujuh aspirasi Ekonomi MADANI menunjukkan perkembangan memberangsangkan selepas tiga tahun pelaksanaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkembangan positif pada kedudukan fiskal, penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan daya saing negara.
  • Pelaksanaan kekal cabaran utama yang menghambat pencapaian sasaran Ekonomi MADANI.
  • Aspirasi lain memerlukan usaha menyeluruh dan pelaporan berkala bagi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti serta mencapai sasaran indikator pembangunan dan ekonomi.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM), Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata, tiga aspirasi itu termasuk kedudukan fiskal, penyertaan wanita dalam tenaga buruh dan daya saing negara.

Beliau menyifatkan kemajuan itu menunjukkan sebahagian sasaran berada pada landasan positif, namun aspek pelaksanaan masih menjadi cabaran utama.

“Cabaran paling utama di negara kita ialah pelaksanaan. Jika dilihat secara lebih khusus, tujuh aspirasi jangka sederhana dan panjang telah digariskan ketika peluncuran Ekonomi MADANI,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Tiga Tahun Ekonomi MADANI di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, empat lagi aspirasi masih memerlukan usaha menyeluruh berikutan cabaran besar untuk mencapai sasaran ditetapkan.

Ini termasuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dan Indeks Pembangunan Manusia, selain menaikkan bahagian pampasan pekerja kepada 45 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Malaysia turut menyasarkan untuk muncul sebagai antara 30 ekonomi terbesar dunia sejajar aspirasi jangka sederhana dan panjang Ekonomi MADANI.

Menurut beliau, pelaporan kemajuan secara berkala penting bagi memperkukuh ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap pelaksanaan kerangka berkenaan.

Ekonomi MADANI dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Julai 2023 bagi memperkukuh ekonomi negara, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memastikan pengagihan kemakmuran lebih saksama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.