Tempahan baharu, permintaan eksport bantu sektor pembuatan Malaysia

Foto Hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Aktiviti sektor pembuatan Malaysia terus berkembang pada Julai, disokong peningkatan tempahan baharu dan pemulihan permintaan eksport.

RINGKASAN BERITA AI
  • PMI Pembuatan S&P Global Malaysia kekal 50.7, menandakan sektor terus dalam wilayah pengembangan.
  • Pertumbuhan dipacu tempahan baharu tertinggi lapan bulan dan pemulihan permintaan eksport dari AS dan Eropah.
  • Pengeluar meningkatkan pembelian input dan menambah stok penampan untuk memastikan kelancaran operasi menghadapi gangguan.
  • Masa penghantaran pembekal memanjang lapan bulan, meningkatkan kos input dan menekan margin; keyakinan perniagaan turun akibat geopolitik dan kekangan bekalan.

Menurut MBSB Research, Indeks Pengurus Pembelian, PMI Pembuatan S&P Global Malaysia kekal pada 50.7 mata, tidak berubah berbanding Jun dan terus berada dalam wilayah pengembangan.

Pertumbuhan itu dipacu tempahan baharu yang meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lapan bulan, susulan permintaan eksport yang kembali berkembang khususnya dari pasaran Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Perkembangan berkenaan dijangka membantu mengekalkan momentum eksport serta menyokong prestasi pengeluaran sektor pembuatan pada suku ketiga tahun ini.

Bagi memastikan kelancaran operasi, pengeluar turut meningkatkan pembelian input dan menambah stok penampan sebagai langkah menghadapi kemungkinan gangguan rantaian bekalan,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, tempoh penghantaran pembekal terus memanjang bagi bulan kelapan berturut-turut, yang boleh meningkatkan kos input dan memberi tekanan kepada margin keuntungan sekiranya kelewatan berterusan.

MBSB Research berpandangan peningkatan stok mampu melindungi jadual penghantaran dalam jangka pendek, namun ketidaktentuan rantaian bekalan yang berpanjangan boleh meningkatkan kos penyimpanan dan menjejaskan kelancaran pengeluaran.

Dalam pada itu, keyakinan perniagaan susut ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan berikutan ketegangan geopolitik, kekangan bekalan, tekanan kos serta peraturan perdagangan yang lebih ketat di beberapa pasaran eksport utama.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.