
SUBANG JAYA, 4 Ogos – PROTON terus memperkukuh momentum eksport menerusi pelancaran Proton e.MAS 5 di Nepal, pasaran luar negara kedua bagi model kenderaan elektrik itu selepas Singapura.
- Proton e.MAS 5 ialah EV kedua dilancarkan di negara itu selepas Proton e.MAS 7 tahun lalu.
- Model mencatat prestasi kukuh di Malaysia, muncul sebagai kenderaan elektrik paling laris tahun ini.
- Merekodkan kira-kira 200 tempahan pada hari pertama diperkenalkan di Nepal.
- Ditawarkan dalam varian Prime dan Premium sebagai SUV elektrik kompak untuk keperluan mobiliti harian.
Model berkenaan merupakan EV kedua PROTON yang dilancarkan di negara itu selepas Proton e.MAS 7 pada tahun lalu.
Pelancaran itu menyusuli prestasi kukuh model berkenaan di Malaysia apabila muncul sebagai kenderaan elektrik paling laris bagi tahun ini, selain merekodkan kira-kira 200 tempahan pada hari pertama diperkenalkan di Nepal.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton International Corporation, Edmund Lim Meng Thong berkata, perkembangan itu mencerminkan peningkatan keyakinan pasaran antarabangsa terhadap jenama Proton e.MAS.
“Peluasan ke pasaran baharu akan terus menyokong pertumbuhan eksport mampan, di samping memperlihat keupayaan Malaysia menghasilkan kenderaan yang mampu bersaing di peringkat global.
Di Nepal, Proton e.MAS 5 ditawarkan dalam varian Prime dan Premium, serta diposisikan sebagai SUV elektrik kompak yang direka untuk memenuhi keperluan mobiliti harian,” jelas beliau.