Peningkatan bantuan SARA dijangka tidak jejas sasaran defisit fiskal

Foto Fail BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Peningkatan kadar bantuan di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dijangka tidak memberi kesan besar terhadap sasaran defisit fiskal negara pada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan mempunyai ruang kewangan mencukupi untuk menampung peningkatan perbelanjaan SARA, kata Ketua Penyelidikan Ekonomi CGS.
  • Harga minyak yang meningkat menaikkan kos subsidi tetapi turut menambah hasil melalui royalti dan dividen, membantu belanjawan kerajaan.
  • Kenaikan SARA dijangka mengukuhkan kuasa beli dan merangsang permintaan domestik; Perdana Menteri akan mengumumkan kadar baru tidak lama lagi.

Ketua Penyelidikan Ekonomi CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd, Ahmad Nazmi Idrus berkata, kerajaan masih mempunyai ruang kewangan mencukupi untuk menampung pertambahan perbelanjaan berkenaan.

Menurut beliau, kenaikan harga minyak meningkatkan kos subsidi, namun pada masa sama turut menambah hasil kerajaan menerusi royalti dan dividen.

“Sekarang ini kita lihat kadar subsidi memang akan bertambah kerana harga minyak meningkat, namun kenaikan harga minyak juga menyumbang kepada hasil kerajaan dari segi royalti, dividen dan sebagainya.

“Saya fikir kerajaan sebenarnya mendapat manfaat daripada keadaan ini dan disebabkan itu, kerajaan akan berupaya menampung perbelanjaan tambahan tersebut,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Pelaburan Syariah Bursa Malaysia 2026 di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, peningkatan bantuan SARA juga berpotensi mengukuhkan kuasa beli rakyat dan merangsang permintaan domestik.

“Setiap kali pembayaran SARA dilaksanakan, kita dapat melihat jualan runcit turut meningkat. Ini menunjukkan bantuan tersebut banyak membantu rakyat.

“Jika kadar bantuan SARA dinaikkan lagi, ia dijangka memberi kesan positif kepada perbelanjaan penggunaan pada masa hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan peningkatan kadar bantuan SARA akan diumumkan dalam masa terdekat bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.