
KUALA LUMPUR, 4 Ogos – Sistem percukaian dunia perlu terus berkembang seiring pendigitalan ekonomi global, peningkatan transaksi rentas sempadan dan persekitaran perniagaan yang semakin kompleks.
- Malaysia mengambil pendekatan proaktif melalui reformasi berterusan dan inisiatif pendigitalan untuk menyesuaikan ekosistem percukaian.
- Memodenkan dasar dan pentadbiran percukaian bagi menangani model perniagaan baharu dan isu percukaian rentas sempadan.
- Memperkukuh ketelusan, kecekapan dan integriti sistem percukaian untuk memastikan daya saing dan menarik pelaburan.
- Komitmen menyokong pelaburan, inovasi dan keusahawanan melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Malaysia mengambil pendekatan proaktif menerusi reformasi berterusan dan pelbagai inisiatif pendigitalan bagi menyesuaikan ekosistem percukaian dengan perubahan itu.
“Model perniagaan baharu, transaksi rentas sempadan serta perkembangan dalam percukaian antarabangsa menuntut kerajaan untuk terus memodenkan pendekatan terhadap dasar dan pentadbiran percukaian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Percukaian Kebangsaan Ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Jelasnya lagi, langkah berkenaan bertujuan memperkukuh ketelusan, kecekapan dan integriti ekosistem percukaian, sekali gus memastikan Malaysia kekal berdaya saing serta menarik sebagai destinasi pelaburan.
Beliau berkata, sistem percukaian yang kukuh turut mencerminkan keyakinan rakyat terhadap institusi awam serta kesediaan sektor industri dan individu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Pada masa sama, sistem berkenaan menggambarkan keupayaan kerajaan menggunakan sumber awam secara bertanggungjawab bagi menyokong pembangunan negara.
Menurut beliau, negara yang mempunyai institusi kukuh, tadbir urus mantap dan kewangan awam mampan berada pada kedudukan lebih baik untuk menangani ketidaktentuan, menghadapi krisis serta merebut peluang baharu.
Kerajaan, katanya, turut komited mewujudkan persekitaran yang menyokong pelaburan, inovasi dan keusahawanan.
Komitmen itu diterjemahkan menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara serta Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.